Tuesday 19 April 2016

Ciri-ciri Guru Idaman

          Sepanjang kehidupan kita, menuntut ilmu merupakan pekerjaan kita. Setiap hari, kita akan menemui sesuatu yang baru. Kita menuntut ilmu sepanjang hidup sehingga kita dikuburkan dalam liang lahad. Sabda Rasulullah SAW: "Tuntulah ilmu sampai ke negeri China", di mana-mana sahaja kita boleh menuntut ilmu. Tetapi ada seorang insan yang sering dikaitkan dengan ilmu, iaitu guru. Guru ialah seseorang yang menyampaikan ilmu pengetahuan kepada orang ramai. Bukan itu sahaja, guru juga membentuk sahsiah kita untuk menjadi orang yang berguna kepada masyarakat dan negara. Guru merupakan orang yang bertanggungjawab mendidik murid-murid dan guru juga akan dituduh bersalah jika anak muridnya gagal dalam pencapaian akademik, tetapi kenapa guru yang haruus dipersalahkan? Mengapa tidak ibu bapa murid yang dipersalahkan? Guru juga memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Setiap murid mesti mempunyai ciri-ciri guru idaman masing-masing kerana guru bukan orang asing kepada kita. Cara pembelajaran yang berkesan boleh mempengaruhi kejayaan pelajar. Tingkah laku guru juga akan menjadi ikutan pelajar kerana guru merupakan ibu bapa kedua kita.

          Seorang guru mestilah mempunyai sifat kesabaran yang tinggi. Siapalah guru kalau tidak sabar dengan kerenah murid? Guru idaman saya mestilah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi supaya dia tidak mudah marah kerana perkara yang kecil. Bukan ingin saya katakan bahawa saya seorang murid yang bermasalah, tidak. Hanya dengan kesabaran, seseorang murid akan tergerak hati mereka untuk mempunyai semangat mencapai kejayaan. Guru harus mendorong murid dengan sabar dan kemungkinan murid tersebut akan mudah mencapai kecemerlangan mahupun di sekolah atau alam dewasa. Sabar itu separuh daripada iman, sabar boleh membentuk guru supaya mempunyai kekuatan rohani. Kesannya, guru dan murid boleh mendapat kebaikan dan mewujudkan masyarakat yang harmoni dengan menanamkan sifat sabar dalam diri.

          Merentung buluh, biarlah dari rebungnya. Kita memasuki alam persekolahan sejak berumur empat tahun dengan memasuki tadika. Pada masa itu, kanak-kanak belum sepenuhnya mumayyiz dan memerlukan bimbingan dan didikan yang berterusan. Guru idaman saya akan membimbing saya dengan menunjukkan tingkah laku yang baik dan patut dicontohi oleh orang lain. Peribahasa di atas membawa maksud, jika hendak membentuk sahsiah yang baik, haruslah dimulakan pada peringkat awal umur. Guru perlu menunjukkan contoh yang baik di hadapan kanak-kanak kerana perkara sebaliknya akan mempengaruhi kanak-kanak tersebut dengan perkara negatif yang mencacatkan sahsiah mereka. Sejajar hal ini, guru yang baik tingkah lakunya akan melahirkan para pemimpin yang berjaya pada masa akan datang.

          Selain itu, guru idaman saya mestilah seorang yang bertanggungjawab. Guru perlulah menjalankan tanggungjawab sebagai tenaga pengajar yang mempunyai misi untuk mendidik pelajar sehingga berjaya. Seorang guru mesti mengambil inisiatif untuk menjadikan anak muridnya sebagai pelajar yang cemerlang. Bagi saya, definisi guru yang bertanggungjawab adalah seorang guru yang akan selalu berusaha untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar, susah senang pelajar adalah bersama guru. Dengan cara itu, murid-murid akan bersemangat menempuh alam persekolahan mereka kerana kehadiran pemangkin yang mendorong mereka, iaitu guru. Guru akan memberi impak yang besar dalam kehidupan murid-murid. Pelajar akan sentiasa mengingati jasa guru sehingga alam dewasa. Guru yang memberi kesan mendalam terhadap saya merupakan guru-guru semasa saya berumur dua belas tahun. Mereka begitu bersemangat untuk memberikan kejayaan kepada pelajar sehingga sanggup menyediakan bahan yang banyak atau kerja rumah kepada pelajar untuk disiapkan. Kerja-kerja itu membuatkan saya tidak cukup tidur tetapi genggam bara api biar sampai jadi arang, saya berjaaya mencapai keputusan 5A dalam UPSR. Jasa mereka akan selalu saya kenang.
      
          Di samping itu, guru idaman saya perlulah tegas tetapi lembut. Murid-murid akan berasa senang dengan keperibadian guru seperti ini. Guru boleh membuat pelajar mudah mengikuti pembelajarannya walaupun murid tersebut ialah murid bermasalah. Ketegasan guru dalam memastikan pelajar menyiapkan kerja sekolah adalah perlu dan ianya juga membentuk disiplin pelajar. Lantaran itu, pelajar akan menyematkan sifat ini dalam seluruh kehidupan mereka. Pelajar sekolah menengah mungkin merasakan ianya mengongkong kehidupan mereka daripada bebas melakukan apa sahaja, tetapi sebenarnya perkara ini merupakan jaminan bagi pelajar untuk meneruskan pembelajaran mereka di menara gading. Di sana, pelajar tidak akan mendapat panduan yang cukup untuk menyiapkan kertas kerja malahan pelajar perlu mencari bahan dengan usaha sendiri. Dengan ketegasan guru di peringkat sekolah bagaikan latihan untuk kita menempuh kehidupan di peringkat yang lebih tinggi. Guru yang tegas dan lembut membuatkan kehidupan saya di sekolah berasa sempurna.

          Pengajaran yang berkesan mempengaruhi kejayaan pelajar. Pelajar memerlukan kaedah penyampaian yang menarik supaya dapat meningkatkan pemahaman dalam sesuatu mata pelajaran. Guru perlulah berperwatakan menarik dan personaliti yang sesuai dengan pelajar. Setiap murid mempunyai kaedah yang berlainan dalam memahami sesuatu mata pelajaran seperti melalui visual, pendengaran dan secara praktikal. Guru yang mampu menyampaikan pelajaran secara tiga kaedah yang telah disebutkan merupakan guru yang berwawasan. Tamsilnya, mata pelajaran Sejarah boleh disampaikan dengan cara bercerita, oleh itu, pelajar tidak akan berasa mengantuk di dalam kelas. Selain itu, mata pelajaran Biologi, Kimia dan Fizik senang difahami melalui pelaksanaan amali. Guru juga perlu mengambil kira bakat yang terpendam dalam diri pelajar. Dalam hal ini, guru harus mengambil tahu cara untuk  menyampaikan ajaran dengan lebih selesa dan produktif, iaitu melalui pelajar sendiri. Pelajar yang mempunyai bakat bercerita atau mempunyai pengetahuan yang luas boleh dijadikan wahan pengajaran. Perkara ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan produktiviti dalam pembelajaran. Sesetengah pelajar tidak memahami pengajaran guru tetapi lebih memahami ajaran rakan sebaya. Kesimpulannya, amat pentinglah untuk guru mengetahui kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan supaya pelajar lebih memahami sesuatu pelajaran.

          Akhirul mukaddimahnya, guru idaman saya mestilah seseorang yang mempunyai sifat kesabaran yang tinggi, berkelakuan baik, bertanggungjawab, tegas dan lembut serta berperwatakan dan personaliti yang menarik. Tugas guru adalh sama berat seperti tugas ibu bapa. Guru perlu membimbing dan mendidik murid-murid sama seperti ibu bapa. Disebabkan itulah guru juga merupakan orang yang penting dalam kehidupan kita. Keberkesanan pengajaran dan didikan guru dapat membentuk sahsiah pelajar. Oleh itu, hargailah guru kerana mereka sanggup membakar diri mereka untuk menerangi kehidupan kita. Terima kasih cikgu.

Hadis dhaif.          

No comments:

Post a Comment

Featured post

Amalan-amalan Untuk Menjadi Pelajar Cemerlang

This one is 33/40. Seriously I don't know why this essay get this mark. Well it's for you to decide whether it is okay or not becau...