Tuesday, 12 January 2016

Peranan Ibu Bapa dalam Memberikan Sokongan dan Dorongan kepada Anak-anak Demi Memastikan Kecemerlangan Akademik Anak-anak

          Y. B. Dato' Seri Shahrizat Bt. Abdul Jalil, mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ada menyatakan bahawa keutuhan institusi keluarga terletak pada pengurusan keluarga yang mapan. Persoalannya, siapa yang berperanan menjamin keluarga yang bahagia? Ibu bapalah yang menjadi tonggak kebahagiaan dan kejayaan keluarga. Kebahagiaan rumaah tangga menyebabkan sesebuah keluarga itu mencapai sesuatu kejayaan dengan mudah. Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni supaya dapat membentuk sahsiah yang tinggi dan disukai oleh masyarakat. Anak-anak bagaikan sehelai kain putih, ibu bapalah yang perlu mencorak warna pada kain tersebut. Mereka memerlukan bimbingan dan dorongan untuk mencapai sesuatu kecemerlangan seperti di sekolah. Namun, apakah peranan ibu bapa dalam memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak untuk memastikan kecemerlangan akademik?

          Kepimpinan harus ditunjukkan oleh ibu bapa dan menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah menunjukkan kepimpinan melalui teladan supaya anak-anak boleh mengikut perkara yang baik dan menerapkan nilai teladan dalam hidup mereka. Ibu bapa harus menjadi contoh dan idola serta inspirasi anak-anak supaya dapat mewujudkan keinginan dan semangat anak-anak untuk mendapat kecemerlangan dalam bidang akademik. Kesungguhan dalam belajar bukan satu-satunya faktor untuk mencapai kejayaan, malahan peribadi yang mulia juga menjadi faktor untuk seseorang itu berjaya. Dlama hal ini, anak-anak pastinya mengikut sifat peribadi ibu bapa mereka dan ibu bapa juga berperanan membentuk sahsiah anak-anak, sesuai dengan pepatah, bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Pentingnya peranan ibu bapa dalam memberikan sokongan dan dorongan serta bimbingan kepada anak-anak. Menurut kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan keputusan sebanyak 50% rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif lahirnya dari keluarga yang berkonflik. Dalam konteks ini, keluarga yang renggang dan sering bergaduh serta mengabaikan anak-anak, kebarangkalian besar untuk terjebak dalam kancah negatif. Sejajar hal ini, anak-anak akan mudah terpengaruh dengan perkara negatif jika ibu bapa terlalu sibuk mengejar hal dunia. Dengan itu, ibu bapa berperanan menunjukkan kepimpinan melalui teladan supaya sahsiah anak-anak dipelihara.

          Selain itu, ibu bapa perlu memberi didikan agama sejak kecil kepada anak-anak, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak perlu dididik dengan ajaran agama sejak kecil kerana mereka mudah menerima ajaran pada umur yang muda dan mudah melentur hati mereka untuk mendengar nasihat ibu bapa, Dengan didikan agama yang sempurna, anak-anak akan terang hati untuk menerima ilmu. Penekanan yang sederhana terhadap pelajar menggalakkan anak-anak untuk menimba ilmu dengan penuh minat dan ikhlas. Hal ini mendorong kepada kecemerlangan akademik anak-anak. Agama bukan sahaja mengajar kita tentang menimba ilmu tetapi menerpakan nilai-nilai murni dalam kehidupan sekaligus memelihara kesucian agama daripada dicemar dengan membuat perkara negatif. Didikan agama sangat penting untuk anak-anak dan ia mengajar kita untuk belajar. Albert Einstein pernah mengatakan "agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh". Ibu bapa haruslah memberi didikan agama sejak kecil dan menyumbang kepada sesuatu kecemerlangan. Kesimpulannya, didikan agama sejak kecil merupakan peranan ibu bapa yang paling besar untuk menjamin kecemerlangan anak-anak sekaligus membentuk sahsiah diri yang baik.

          Seterusnya, ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Anak-anak perlu diberi kasih sayang supaya mereka disayangi dan tidak terabai. Jika ibu bapa mengabaikan kebajikan anak-anak mereka, anak-anak akan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya kerana mendapat kurang kasih sayang daripada ibu bapa. Ibu bapa perlu menunjukkan sifat penyayang kepada anak-anak seperti memasak makanan kegemaran dan membawa anak-anak pergi bercuti. Dengan kasih sayang yang secukupnya, anak-anak akan mudah belajar dan lebih bersemangat serta bermotivasi untuk belajar. Seseorang itu akan senang menimba ilmu dengan kelengkapan yang secukupnya. Oleh itu, anak-anak akan mudah mencapai kecemerlangan kerana dengan kasih sayanglah, anak-anak akan menghadiahkan kejayaan kepada ibu bapa. Sekiranya ibu bapa tidak memberikan kasih sayang yang secukupnya, anak-anak akan terjatuh dalam kancah sosial, mengakibatkan institusi keluarga goyah dan runtuh. Kesimpulannya, anak-anak memerlukan kasih sayang ibu bapa sebagai dorongan untuk mengejar kecemerlangan akademik.

          Anak-anak juga memerlukan sumber rujukan untuk belajar. Dalam hal ini, ibu bapa boleh menyediakan perpustakaan mini di rumah. Perpustakaan mini mempunyai semua buku rujukan dan tidak semestinya buku rujukan sahaja, perpustakaan mini juga boleh mempunyai buku-buku cerita. Dengan adanya perpustakaan mini di rumah, sesebuah keluarga itu boleh memupuk budaya cintakan ilmu yang bermula dari rumah sekali gus merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli keluarga. Anak-anak yang selalu berada di tempat yang menempatkan banyak bahan ilmiah untuk belajar akan mendorong kepada kecemerlangan akademik. Ibu bapa harus memberi sokongan dan dorongan dalam apa cara sekalipun untuk kejayaan anak-anak.

           Akhir sekali, tugas wajib bagi semua ibu bapa adalah sentiasa memantau perkembangan akademik anak-anak. Ibu bapa perlu menjaga kebajikan anak-anak terutamanya pelajaran anak-anak. Ibu bapa perlu menjaga kebajikan anak-anak terutamanya pelajaran anak-anak. Segala perihal anak-anak perlu diambil tahu di samping mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan rumah kerana ianya merupakan tanggungjawab mereka. Ibu bapa yang sibuk mencari nafkah akan merenggangkan hubungan antara ahli keluarga. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa memantau pelajaran anak-anak supaya anak-anak dapat merasakan kasih sayang ibu bapa mereka dan merapatkan hubungan antara satu sama lain. Selain itu, ibu bapa juga perlu menjalinkan hubungan erat dengan PIBG sekolah. Ibu bapa juga harus memastikan persekitaran sekolah dan kemudahan yang memuaskan untuk keselesaan anak-anak. Ibu bapa boleh mencadangkan usul tentang cara mendidik anak-anak serta usaha sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan akademik. Mereka berdua juga boleh menghantar anak-anak ke kelas tambahan untuk meningkatkan kecemerlangan anak-anak dalam pelajaran.  Walaupun ibu bapa sibuk, mereka tetap mencari cara untuk mendidik anak-anak. Sejajar hal ini, anak-anak dapat meningkatkan prestasi potensi diri untuk mencaai kecemerlangan perkembangan akademik. Tuntasnya, ibu bapa harus sentiasa memantau perkembangan akademik anak-anak untuk meningkatkan kecemerlangan akademik mereka.

          Kesimpulannya, peranan ibu bapa sangat penting dalam memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak. Seorang ibu bapa yang baik akan menjaga anak mereka dengan memberi pakaian dan makanan secukupnya. Faktor-faktor inilah yang mendorong kepada kecemerlangan akademik anak-anak. Jika tiada punca-punca ini, anak-anak tidak boleh fokus dalam pelajaran. Ibu bapa perlu mengambil inisiatif dlama menjaga kebajikan anak-anak kerana ianya merupakan tanggungjawab ibu bapa. Ibu bapa menjaga kita bagai menatang minyak yang penuh. Hargailah jasa mereka dengan berakhlak baik dan berjaya dalam pelajaran.

No comments:

Post a Comment

Featured post

Amalan-amalan Untuk Menjadi Pelajar Cemerlang

This one is 33/40. Seriously I don't know why this essay get this mark. Well it's for you to decide whether it is okay or not becau...