Monday, 4 January 2016

Kesan-kesan yang Timbul Apabila Remaja Bosan di Sekolah

          Persekolahan menjadi sebahagian daripada hidup remaja. Belajar di sekolah merupakan rutin harian dan remaja perlu hadir ke sekolah untuk menimba ilmu pengetahuan supaya dapat mencapai matlamat hidup di masa hadapan. Namun, remaja merasakan persekolahan mengongkong kehidupan bebas mereka. Remaja berasabosan menjalani rutin harian mereka dan menganggap sekolah itu seperti 'penjara'. Remaja tidak mengetahui kepentingan sekolah sebagai institusi untuk menjana usaha dan minat remaja supaya dapat mendalami bidang yang diingini. Remaja harus menambah pengetahuan sampai ke tahap yang paling tinggi kerana belajar tidak mengira usia. Sabda Rasulullah SAW: "Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China". Remaja harus berfikir positif dan tuntut ilmu dengan ikhlas supaya tidak berasa bosan di sekolah. Remaja kini tidak berminat untuk pergi ke sekolah dan menyebabkan motivasi diri remaja semakin berkurangan. Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, peribahasa ini boleh dikaitkan dengan tanggungjawab ibu bapa membesarkan anak dengan nilai-nilai murni supaya tidak berlaku masalah sahsiah pada usia remaja. Remaja perlu memelihara diri daripada terjebak dengan kancah kehidupan yang tidak bermoral atau gejala negatif. Remaja mempunyai ramai kawan dan pengaruh yang kuat. Mereka harus memilih kawan yang baik sahsiahnya, jika tidak, remaja akan mudah terpengaruh dengan perkara buruk. Remaja perlulah mengubah sikap dan saling menunjukkan contoh yang baik serta mengubah persepsi mereka terhadap pendidikan di sekolah.

          Mari kita mendalami kesan-kesan yang timbul apabila remaja bosan di sekolah. Remaja yang bosan akan suka menimbulkan masalah sewaktu guru mengajar. Pada masa pengajaran dan pembelajaran, pelajar sepatutnya belajar dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajaran supaya perkara yang dipelajari dapat difahami dengan mudah. Remaja yang bosan akan cuba melakukan sesuatu yang dikehendakinya. Pengajaran yang membosankan dan tidak menarik akan menyebabkan pelajar menimbulkan masalah sewaktu guru mengajar. Guru perlu memberi perhatian yang lebih kepada pelajar supaya mereka tidak berasa bosan dan membuat perkara yang dilarang ketika pengajaran dan pembelajaran. Tamsilnya, apabila pelajar berasa bosan, mereka akan berbual-bual kosong, mengusik rakan mereka yang sedang belajar, mencuri dan menyorok buku rakan, mengejek dan menghasut. Berikutan itu, sesi pengajaran dan pembelajaran terganggu dan suasana tidak lagi kondusif bagi para pelajar. Pelajar-pelajar ini juga menimbulkan kemarahan guru, perkara ini juga turut membazirkan waktu sesi pengajaran dan pembelajaran. Pepatah ada mengatakan bahawa disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Hal ini terjadi kerana guru akan sentiasa menasihati anak muridnya dengan nasihat yang sungguh panjang menyebabkan pengajaran terganggu, disebabkan seorang pelajar membuat gangguan, pelajar lain turut terkena tempiasnya. Pepatah ini juga boleh dikaitkan dengan pelajaran mereka. Jika terlalu banyak gangguan, pelajar lain akan hilang tumpuan dan terlepas perkara yang dipelajari. Oleh itu, pelajar harus memberikan tahap fokus yang tinggi terhadap guru yang mengajar. Guru juga perlu mengambil inisiatif untuk mengajar dengan cara yang boleh menarik perhatian para remaja untuk belajar. Remaja haruslah menjaga tingkah laku supaya dapat membina sahsiah yang tinggi dan menjamin kejayaan yang cemerlang dengan doa serta redha guru. Tuntasnya, usaha mengelakkan remaja daripada bosan memerlukan kerjasama dua pihak keranan tangan tidak menghasilkan tepukan sekiranya hanya bertepuk sebelah tangan. 

          Seterusnya, mari kita selusuri topik perbincangan tadi. Kesan-kesan remaja bosan di sekolah adalah remaja kerap ponteng kelas dan ponteng sekolah. Remaja yang selalu tidak hadir ke kelas atau sekolah akan terlepas banyak daripada pelajaran yang perlu dipelajarinya, tetapi mereka tidak peduli dan meneruskan perbuatan negatif itu. Salah satu sebab remaja bosan ke sekolah adalah kemestian memakai pakaian seragam sekolah. Mereka ingin bebas memakai apa sahaja dan memandangkan mereka menganggap bahawa perkara ini seperti mengongkong kehidupan mereka, remaja tidak suka hadir ke sekolah. Bagi pelajar yang tidak hadir ke kelas, mereka lebih suka melepak di tempat lain seperti padang sekolah kerana mereka boleh bermain bola. Remaja tidak mengetahui bahawa pentingnya zaman remaja dan menghabiskannya dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Walaupun mereka mengetahui perihal dunia luar, namun remaja juga seperti katak di bawah tempurung. Pelajar yang suka ponteng kelas atau sekolah tidak berpeluang mempelajari perkara penting yang boleh menjamin masa depan mereka. Pelajar akan ketinggalan dari segi ilmu dan tidak boleh berdaya saing dengan para cerdik pandai di sekolah. Hal ini menyebabkan negara kekurangan remaja yang mampu berdaya saing dengan orang luar yang jauh lebih cerdik berbanding remaja kita. Pepatah ada menyatakan bahawa untung sabut timbul, untung batu timbul. Pelajar akan mendapat balasannya jika tidak menunjukkan sahsiah yang baik dan perkara buruk akan datang kepadanya. Pepatah ini dapat membuktikan bahawa pelajar yang selalu ponteng kelas atau sekolah akan ketinggalan dalam pelajaran dan jahil dalam ilmu dunia menyebabkan jaminan kejayaannya tidak tentu. Kesimpulannya, remaja perlu mengelakkan diri daripada melakukan perkara negatif dan terlibat dalam kancah sosial yang sudah tentu mendatangkaan keburukan kepada kita.

          Disiplin merupakan elemen terpenting dalam kehidupan remaja. Tanpa disiplin, tidak mungkin tugas seharian dapat dilaksanakan dengan baik. Remaja yang tidak berdisiplin akan mudah bosan dengan rutin sekolah. Melanggar disiplin sekolah merupakan kebiasaan bagi pelajar yang bosan ke sekolah. Pelajar ingin melakukan kehendak sendiri sehingga mereka sanggup melakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan sekolah. Antara perbuatan negatif yang dilakukan oleh pelajar adalah merokok, terlibat dengan gangsterisme dan vandalisme. Remaja mempunyai ego yang tinggi dalam mempertahankan hak mereka. Bukan menyekat kebebasan pelajar, hanya membimbing mereka ke jalan yang betul dan menunjukkan perkara yang baik patut dijadikan sikap kita. Pelajar harus berusaha untuk mendisiplinkan diri kerana yang bulat tidak bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Mereka perlu mengorbankan sesuatu untuk mencapai masa depan yang berjaya. Oleh itu, perlajar perlu mengikuti rutin harian di sekolah dengan mematuhi undang-undang dan peraturan sekolah. Lantaran itu, pelajar akan bersikap baik dengan melakukan perbuatan mulia dan menghindari perkara negatif. Remaja yang bijak akan memikirkan tentang masa depannya dan bersiap sedia untuk menempuh cabaran yang akan datang. Mereka yang benar-benar terpelihara akhlaknya tidak akan terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Oleh itu, disiplin amat penting dalam mendidik pelajar menjadi seorang murid yang bertauliah dan bersahsiah tinggi. Guru juga perlu memantau kegiatan pelajar supaya disiplin mereka terkawal. Kesimpulannya, pelajar yang bosan akan menimbulkan masalah disiplin, guru perlu memantau pergerakan dan tingkah laku mereka supaya boleh menyelamatkan diri mereka daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan menyakiti orang lain.

          Sekolah adalah tempat menimba ilmu bagi pelajar. Pencapaian akademik dititikberatkan mahupun pencapaian tersebut dapat mencapai tahap cemerlang. Dalam hal ini, pelajar yang bosan di sekolah berkemungkinan mendapat pencapaian yang teruk dan prestasi akademik mereka merosot. Mereka sukar mendapatkan biasiswa kerana tidak mencapi tahap yang diingini untuk layak mendapat biasiswa. Sudah terhantuk baru nak terngadah. Murid akan menyedari kepentingan markah akademik dan markah kokurikulum apabila mereka mahu melanjutkan pelajaran ke menara gading. Contohnya, pelajar perlu aktif dalam kokurikulum dan mendapat gred purata kumulatif (CGPA) sebanyak 4.0. Dengan ini, pelajar harus berusaha untuk mendapat pencapaian yang bagus, jika ingin memohon biasiswa, sudah pastinya biasiswa akan diberikan kepada orang yang cemerlang. Bukan itu sahaja, remaja harus menghormati guru dan rakan lain seperti mendengar nasihat guru, menolong rakan dan menjaga harta benda sekolah yang baik. Pepatah ada mengatakan bahawa alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Pepatah ini bermaksud kita perlu membuat sesuatu sampai kesudahannya. Kebosanan berada di sekolah merupakan lumrah pelajar, tetapi pelajar boleh mengatasinya dengan menunjukkan minat belajar. Dengan itu, pelajar dapat mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang dan dapat menjamin kejayaan pada masa akan datang. Oleh itu, remaja tidak seharusnya bosan jika mempunyai niat yang baik untuk datang ke sekolah. Guru dan ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak dan memastikan kehadiran anak ke sekolah adalah pasti bagi mengelakkan remaja ponteng ke sekolah.

          Kehadiran pelajar ke sekolah amat penting, begitu juga dengan pelajaran. Kebosanan remaja perlu dihapuskan untuk menggalakkan remaja ke sekolah. Sifat remaja yang bosan apabila berada di sekolah harus diambil perhatian serius. Guru berperanan dalam mengajar remaja dan meningkatkan prestasi pelajaran remaja dengan mengajar secara berkesan supaya pengajaran dan pembeljaran dapat dijalankan dengan seronok. Sejajar hal ini, pengajaran yang disampaikan oleh guru senang difahami. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengambil berat terhadap kebajikan anak-anak. Ibu bapa yang mengabaikan hal ehwal anak-anak mereka menjadi faktor remaja terlibat dengan gejala sosial. Remaja diibaratkan dengan kain putih, ibu bapalah yang perlu mencorakkannya. Ibu bapa harus mendidik anak mereka menjalni kehidupan yang berlandaskan nilai-nilai murni. Oleh itu, kerjasama daripada dua pihak adalah perlu dalam memastikan remaja tidak bosan apabila berada di sekolah. Dengan kerjasama semua pihak, perkara ini dapat dicegah dan dapat merealisasikan wawasan negara.

No comments:

Post a Comment

Featured post

Amalan-amalan Untuk Menjadi Pelajar Cemerlang

This one is 33/40. Seriously I don't know why this essay get this mark. Well it's for you to decide whether it is okay or not becau...