Sunday, 10 April 2016

Peranan Keluarga dalam Menangani Perlakuan Negatif Remaja

Perlakuan negatif seperti pergaulan bebas,merokok dan melepak dalam kalangan remaja semakin membimbangkan semua pihak.

Huraikan peranan keluarga bagi menangani masalah ini.

          Pada zaman ke arah pembangunan Wawasan 2020, masyarakat sering dikejutkan dengan pelbagai berita tentang gejala sosial yang berleluasa. Kancah sosial ini berlaku dalam kalangan remaja dan mereka selalu membuat perlakuan negatif seperti pergaulan bebas, merokok, melepak,merogol dan mencuri. Apakah faktor yang mendorong mereka berkelakuan sedemikian? Faktor yang paling rapat dengan gejala ini adalah pengabaian keluarga dalam menangani masalah ini. Mengikut kajian statistik yang terbaru, lima puluh peratus punca gejala sosial adalah keluarga yang tidak bahagia. Patutkah kita persalahkan orang lain? Tidak, kita tidak sedar bahawa punca kepada masalah ini datang daripada orang yang rapat dengan kita. Oleh itu, keluarga perlu berganding bahu dalam menangani masalah gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja. Namun, apakah peranan kelaurga bagi menangani masalah ini?

          Mari kita selusuri topik perbincangan kita mengenai peranan keluarga dalam menangani masalah remaja ini. Pertamanya, agama sangat penting dalam membentuk sahsiah yang baik dan mulia. Ibu bapa terutamanya perlualah memberikan didikan agama sejak kecil seperti pepatah 'Melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Usia remaja adalah waktu yang agak lewat untuk memberi didikan agama keranan hati mereka sudah keras, tetapi dengan usaha inilah yang membolehkan remaja berubah. Anak-anak bagaikan kain putih, ibu bapalah yang perlu mencorakkannya dengan memberi didikan agama. Remaja haruslah menimba ilmu pengetahuan mengenai agama untuk kepentingan dunia dan akhirat. Menurut Albert Einstein 'agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama, lumpuh'. Pentingnya peranan agama dalam kehidupan manusia. Ibu bapa harus memberi didikan agama yang secukupnya agar remaja tidak terdorong untuk melakukan perkara yang menyumbang kepada dosa kerana agama mengajar kita amar makruf nahi munkar.

          Remaja sering melepak dengan rakan-rakan mereka dan melakukan perbuatan negatif seperti merokok dan berlumba motosikal secara haram. Perlakuan negatif ini harus diberhentikan. Oleh itu, ibu bapa harus memantau perkembangan anak-anak dari segi pelajaran dan aktiviti sosial mereka. Ibu bapa perlu memastikan bahawa anak-anak mereka pergi ke sekolah dan menuntut ilmu. Ibu bapa juga harus mengambil berat tentang pencapaian anak-anak di sekolah. Remaja berkelakuan buruk kerana mereka mengetahui bahawa ibu bapa mereka tidak mengambil kisah tentang kebajikan mereka. Ibu bapa harus mengikuti perkembangan remaja di sekolah dan paling penting dengan siapa anak mereka berkawan. Rakan boleh membawa pengaruh negatif yang mengajak mereka ke dalam kancah sosial. Selain itu, aktiviti sosial remaja perlu diberi perhatian oleh ibu bapa, jika remaja melanggar undang-undang, ibu bapa yang terkena kesannya. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali, oleh itu, sekali terkena, kita perlu menjaga mereka dengan baik agar tidak terjebak sekali lagi. Kesimpulannya, ibu bapa haruslah memantau perkembangan remaja dari semasa ke semasa.

          Selain itu, ibu bapa, adik beradik mahupun saudara mara perlu memberi kasih sayang yang secukupnya kepada remaja. Remaja memerlukan kasih sayang semasa mereka membesar agar dapat menjadi seorang yang penyayang. Aktiviti gejala sosial meningkat selaras dengan kenaikan harga barang. Ibu bapa perlu mencari nafkah untuk menanggung kehidupan mereka, sesetengah ibu bapa memberi tumpuan kepada pekerjaannya dan cara untuk mendapat rezeki yang lebih sehingga kebahagiaan keluarga disisih begitu sahaja. Remaja yang merasakan diri mereka tidak disayangi akan mudah terlibat dengan gejala buruk. Hal ini kerana rakan dapat memberikan kasih sayang dan mendorong kepada perbuatan maksiat seperti merogol dan melahirkan anak luar nikah. Ibu bapa perlu mengambil perhatian serius terhadap perkara ini dan memberikan kasih sayang secukupnya kepada remaja.

          Di samping itu, peranan ibu bapa yang paling penting adalah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Anak-anak yang masih kecil mudah dbentuk dan diberi nasihat, oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak supaya mereka membesar dengan sahsiah yang mulia. Penerapan nilai murni amat penting kepada remaja kerana amalan-amalan ini sepatutnya dipraktikkan oleh remaja dalam membantu masyarakat dan menjamin masa depan negara kerana  mereka adalah pemimpin negara pada masa akan datang. Ibu bapa yang melakukan perkara negatif di hadapan remaja seperti merokok, memukul orang dan mencuri akan melahirkan warga masyarakat yang lebih teruk. 'Bagaimana acuan begitulah kuihnya', pepatah ini perlu disematkan dalam diri ibu bapa dan sebagai peringatan untuk menunjukkan teladan yang baik kepada remaja. Konkulsinya, ibu bapa perlu berhati-hati dalam mengajar remaja agar mereka tidak membesar dengan melakukan gejala sosial.

          Bukan itu sahaja, ahli keluarga perlulah memberi sokongan dan dorongan yang padu kepada kegiatan remaja yang berfaedah. Remaja tidak mahu kehidupannya dikongkong dan dikawal ketat oleh ibu bapa. Ibu bapa haruslah memberi sedikit kebebasan kepada remaja untuk membuat keputusan seperti ingin mencapai cita-citanya sebagai pelukis. Ibu bapa harus menyokong dan memberi peluang kepada remaja, dikhuatiri jika menghalang minatnya, ianya akan mendorong remaja untuk melakukan vandalisme seperti menconteng dan mengecat dinding secara haram. Remaja iri hati dengan rakannya yang mendapat kebebasan untuk membuat keputusan. Konklusinya, ibu bapa perlu memberi galakan dan dorongan terhadap minat remaja asalkan minat itu di jalan yang benar.

          Kesimpulannya, dalam sesebuah institusi keluarga, ibu bapalah yang menjadi pemimpin kepada anak-anak. Tanggungjawab mereka sangat besar, iaitu melahirkan dan mendidik pemimpin yang berkaliber pada masa akan datang. Ibu bapa ialah orang yang berpengaruh dalam membentuk peribadi remaja dan menghalang mereka daripada terjebak dengan kancah sosial ini. Sesebuah keluarga perlulah menanamkan semangat 'bersatu teguh, bercerai roboh' untuk menjadi sebuah keluarga yang hebat. Oleh itu, semua ahli keluarga perlu bersatu padu dan bekerjasama dalam menangani masalah sosial ini.

           

No comments:

Post a Comment

Featured post

Amalan-amalan Untuk Menjadi Pelajar Cemerlang

This one is 33/40. Seriously I don't know why this essay get this mark. Well it's for you to decide whether it is okay or not becau...