Tuesday 5 January 2016

Keburukan Penggunaan Telefon Bimbit dalam Kalangan Pelajar Sekolah

          Pada zaman revolusi teknologi telekomunikasi dan multimedia tanpa had ini, telefon bimbit digunakan dengan meluas dalam kalangan masyrakat. Telefon bimbit menjadi satu keperluan dalam masyarakat kini dan kehidupan seakan tidak lengkap jika tiada telefon bimbit. Telefon bimbit digunakan untuk berkomunikasi tetapi setelah melalui abad-abad inovasi, telefon bimbit dinaiktaraf kepada telefon bimbit pintar yang membolehkan kita mengakses maklumat dengan internet dan memudahkan pekerjaan kita. Telefon bimbit meningkatkan kemajuan teknologi mahupun mentaliti masyarakat kerana boleh berhubung dengan negara luar. Ianya juga memberikan banyak kebaikan jika digunakan pada masa dan tempat yang sesuai, tetapi, tahukah anda bahawa telefon bimbit juga mendatangkan keburukan kepada masyarakat? Ya, telefon bimbit mempunyai pengaruh yang kuat terutama sekali dalam kalangan pelajar sekolah. Namun, apakah keburukan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sekolah?

          Mari kita mengupas keburukan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sekolah. Pertamanya, telefon bimbit boleh mewujudkan masalah gejala sosial. Jika dikecilkan skop perbincangan ini, salah satu masalh gejala sosial yang boleh berlaku adalah kecurian. Kes kecurian lazim berlaku di dalam kawasan sekolah. Pelajar mencuri telefon bimbit semata-mata ingin menjual atau menggunakannya. Akibat daripada kecurian tersebut, ianya akan menimbulkan pergaduhan dan fitnah-memfitnah antara satu sama lain. Disebabkan kecurian tersebut, pelajar akan bergaduh dan mencederakan antara satu sama lain. Selain itu, pelajar sekolah juga akan melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti menonton video lucah. Perbuatan ini perlu dihindari dalam kalangan pelajar kerana melihat pornografi  ini boleh melembabkan pemikiran kita. Sejajar hal ini, menonton video lucah mendorong kepada kes rogol yang disebabkan daripada pelajar yang tidak dapat menahan nafsu. Kesannya, terjadi kes rogol yang berleluasa dalam kalangan remaja. Bukan itu sahaja, telefon merupakan simbol bagi kekayaan dan pelajar ingin bersaing antara satu sama lain dengan menunjukkan kecanggihan telefon bimbit mereka. Perkara ini mewujudkan jurang antara orang miskin dan orang kaya. Lantaran itu, pelajar sering dibuli dan diejek kerana memiliki telefon bimbit yang tidak terlalu canggih. Kesimpulannya, penggunaan telefon bimbit di sekolah boleh mewujudkan banyak gejala sosial.

          Seterusnya, mari kita selusuri keburukannya yang lain iaitu tidak fokus dalam pembelajaran. Remaja kini mempunyai banyak cara untuk berhubung antara satu sama lain dan mereka sering aktif dalam perhubungan memlalui telefon bimbit. Antara aplikasi perhubungan remaja adalah 'Wechat', 'WhatsApp', 'Facebook' dan 'Instagram'. Kesan membawa telefon bimbit adalah pelajar tidak dapat memberi perhatian kepada pembelajaran kerana melayan aplikasi-aplikasi ini. Selain daripada itu, pelajar minat bermain permainan dan menonton 'Youtube' di dalam telefon bimbit. Jika perkara ini berterusan, pencapaian akademik pelajar akan merosot kesan daripada hilang daya tumpuan ketika belajar. Hal yang demikian, prestasi sekolah juga akan merosot disebabkan pelajar yang leka dengan telefon bimbit semasa pembelajaran. Tuntasnya, pelajar harus menggunakan telefon bimbit berpada-pada agar tidak menganggu pembelajaran serta keputusan peperiksaan.

          Isi seterusnya, penggunaan telefon bimbit di sekolah memeberi kesan kepada hubungan erat antara pelajar. Hubungan pelajar semakin renggang akibat sikap suka menyendiri dan melayan telefon bimbit masing-masing. Pelajar selalu menatap telefon bimbit mereka dan hal ini mengurangkan komunikasi antara satu sama lain. Dahulu, persahabatan mereka erat bagai isi dengan kuku tetapi berjauhan kerana melayan aplikasi-aplikasi tersebut. Hal ini juga boleh dikaitkan dengan kegiatan buli antara kawan. Tamsilnya, rakan yang bersifat materialistik akan mengejek rakan yang mempunyai telefon bimbit yang sederhana dan enggan berkawan dengannya. Hubungan yang renggang terbit daripada sikap ingin mengatasi dan sifat dengki terhadap orang lain. Oleh itu, elakkan daripada terlalu leka dengan telefon bimbit dan elakkan daripada merenggangkan silaturrahim.

          Kita sudah menyelongkar seribu satu keburukan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah. Oleh itu, kita haruslah mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala sosial dan gunakan telefon bimbit untuk perkara yang berfaedah. Ibu bapa dan guru harus mendidik para pelajar tentang kepentingan telefon bimbit yang sebenar. Saya berharap bahawa pelajar zamn milenium ini meningkatkan mentaliti mereka dan berusaha memantapkan sahsiah diri kepada yang lebih cemerlang.

No comments:

Post a Comment

Featured post

Amalan-amalan Untuk Menjadi Pelajar Cemerlang

This one is 33/40. Seriously I don't know why this essay get this mark. Well it's for you to decide whether it is okay or not becau...